Jom Terjah!!!

Tuesday, March 1, 2011

Hindraf terima padah

                      Lapan pemimpin kanan Parti Hak Asasi Manusia (HRP) termasuk pengasas HINDRAF, P Uthayakumar yang ditahan kerana menyertai perhimpunan Solidariti Membantah Perkauman UMNO dan penggunaan novel Interlok, dibebaskan dengan jaminan polis sehingga Jumaat ini sebelum tindakan susulan termasuk pendakwaan diambil. 

                   Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Zulkifli Abdullah, berkata pihaknya sedang melengkapkan kertas siasatan berhubung penahanan mereka sebelum diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.
“Bagaimanapun, 14 penyokong yang ditahan di depan Balai Polis Jinjang, malam kelmarin selepas enggan bersurai sudah dibebaskan kira-kira jam 5 petang tadi (semalam).

“Siasatan terperinci sedang dilakukan dan keputusan terhadap lapan pemimpin parti itu akan diketahui sebelum Jumaat, sebaik kertas siasatan dihantar kepada Timbalan Pendakwa Raya,” katanya kepada pemberita di sini, semalam. 

Seramai 109 orang, termasuk lapan wanita berusia antara 18 hingga 66 tahun ditahan polis kerana cuba menyertai perhimpunan Solidariti Membantah Perkauman UMNO dan membantah penggunaan novel Interlok di beberapa lokasi di ibu negara, kelmarin. 




Zulkifli berkata, beberapa individu termasuk pemimpin HRP yang ditahan, juga dikenal pasti mempunyai rekod lampau berhubung kesalahan sama di negeri lain.

“Pemeriksaan mendapati ada individu sudah beberapa kali ditahan berhubung kesalahan menyertai perhimpunan haram di Kuala Lumpur dan negeri lain, namun tidak perlu didedahkan secara terperinci,” katanya.